Promo My Novel

Promo My Novel
Credit to Crew Karangkraf

Monday, September 20, 2010

Perginya Seorang Teman...

Sepatutnya aku post cerita ni sejak semalam lagi… lepas aku dapat khabar sedih ni. Tapi aku masih tak ada kekuatan waktu tu. Semalaman aku menangis… mengenangkan berita yang baru aku terima ni, walaupun sebenarnya dah 4 bulan telah berlalu dan aku lewat tahu akan hal ni. Sesungguhnya, berita ni menyedarkan aku bahawa kematian itu tidak mengira usia, tua ataupun muda. Ya Allah, sesungguhnya Kau ampunilah di atas segala dosa, kelalaian dan kealpaanku selama ini, Tuhanku…


Gerimis pun reda,
angin syahdu bawa berita
kau telah tiada lagi…
Pulang ke hadratNya…

Alunan lagu Gerimis Semalam nyanyian idolaku, Sheila Majid benar2 meruntun jiwaku. Lirik serta bait-bait lagunya bagaikan menggambarkan perasaan sedihku ketika ni. Ditambah dengan suasana hujan di luar tingkap. Air hujan yang mencurah-curah di luar bagaikan airmata yg mengalir dalam hatiku ketika ini. Aku cuba memunggah rak yang menempatkan album-album lama. Album yang memuatkan segala kenangan ketika aku berada di bangku sekolah. Aku cuba cari potret seseorang, manalah tahu kalau2 ada dalam simpananku. Tapi tak ada… bermakna tiadalah potret kenangan antara kami yang terabadi dalam album lusuh tu.

Sebenarnya, dah lama jugak aku cuba jejaki seorang sahabat lamaku ini. Amirah atau lebih mesra dengan panggilan Along. Kami pernah belajar dalam darjah yang sama di SRASD, kami pernah menaiki bas sekolah yang sama dan kami juga pernah tinggal di taman perumahan yang sama. Malahan, keluarga kami juga saling mengenali. Aku mulai mengenali Along sewaktu aku mendaftar masuk di SRASD ketika umurku 9 tahun, dan kebetulan Along duduk bersebelahan denganku dalam darjah ketika itu. Sejak dari itu kami mulai berkawan dan bertambah akrab dari hari ke hari. Walaupun pada tahun berikutnya kami tidak lagi belajar dalam darjah yg sama, tetapi persahabatan kami tetap untuh. Setiap petang, Along akan berbasikal ke rumahku. Kami akan duduk berbual di bawah pokok mangga di hadapan rumahku. Namun kini pokok mangga itu sudah tiada. Ia telah ditebang ketika rumahku diubah suai kira-kira 12 tahun yg lalu...

Aku dan Along dulu sama2 nakal. Kami juga memiliki hobi yg sama, iaitu suka baca buku cerita. Aku masih ingat lagi, sewaktu kami darjah 5, sekali lagi kami ditempatkan dalam kelas yg sama. Waktu itu, kami memilih tempat di bahagian paling belakang. Sewaktu ustazah mengajar di hadapan, kami curi2 baca buku cerita di belakang, dan buku tu kami sorok kat laci meja supaya tak ada sesiapa yg nampak. Hinggalah suatu hari kami ‘terkantoi’… Ustazah telah merampas buku2 kami. Keesokan harinya, semasa ustazah belum sampai di sekolah, aku curi2 masuk ke bilik guru untuk mengambil semula buku kami dari meja ustazah. Nakalnya kami… tapi serasakan aku lebih nakal lagi sebab aku yg ambil balik buku kami tu dari meja ustazah secara senyap2. Ketika ini, aku berfirasat, pastinya waktu itu ustazah sudah tahu akan tindakanku itu, namun dia buat tak tahu aja. Mungkin jugak ustazah tak perasan yg buku cerita kami tu dah tak ada kat atas mejanya?

Masih segar dalam ingatanku, sewaktu pulang dari sekolah kebangsaan, sebaik kami turun dari bas sekolah di seberang jalan berhadapan rumahku. Ketika itu, aku nak melintas jalan. Tanpa melihat kiri dan kanan, aku terus aja melintas tanpa kusedari ada sebuah van yg melalui jalan tersebut dan hampir2 nak langgar aku. Saat itu aku terdengar Along menjerit, “Effa…. Vaaannnn!!!” Mama yang berada di hadapan pagar rumah turut menjerit. Aku tergamam. Pemandu van tersebut sempat mengelak dan telah membuat emergency break. Aku terkaku di tengah2 jalanraya, seperti seluruh nyawaku terbang ke angkasa. Aku tak sedar apa-apa biarpun mataku masih terbuka dengan luas. Aku tak sedar siapa yang berada di sekelilingku waktu itu, aku tak sedar bila masanya mama berada di sebelah dan memelukku, malah aku tak rasa tubuhku dipeluk oleh mama. Aku jugak tak sedar bila masanya Along datang dan duduk di hadapanku sambil merenung jauh ke dalam anak mataku. Jiwaku ketika itu kosong… Yang pasti, aku dapat melihat wajah cemas Along.

Setahun kemudian, ketika usia kami menginjak 12 tahun, Along dan keluarganya telah berpindah. Aku sendiri tak pasti ke mana mereka akan pergi. Kali terakhir kami bertemu, dua tahun selepas mereka berpindah. Along serta adik-adiknya yang lain telah datang untuk beraya ke rumahku. Kesempatan itu kami ambil untuk bertukar alamat dan nombor telefon. Malangnya, di atas kucuaianku, alamat dan nombor telefonnya telah hilang. Saban hari, aku menanti panggilan darinya. Sehingga kini, sebelum aku mendapat perkhabaran semalam, aku masih ternanti-nanti. Manalah tahu terima panggilan telefon, surat, kad ucapan ataupun jemputan walimatulurus darinya mungkin?

Puas sudah aku mencari Along menerusi alam maya sejak beberapa tahun ini. Dengan adanya kemudahan teknologi masa kini serta laman-laman sosial seperti facebook, friendster dan myspace, aku cuba menjejaki Along. Namun tak ketemu. Sudah bertahun lamanya tidak bersua, pastinya aku sudah lupa nama penuhnya. Yang aku ingat, hanyalah nama panggilannya, Along atau nama yang selalu dipanggil oleh guru kami dulu, Amirah.

Sehingga semalam, entah macam mana aku boleh teringat akan nama penuh Along, cepat-cepat aku search melalui facebook. Alhamdulillah aku jumpa juga dengannya di situ, tetapi ada sesuatu yg membuatkan hatiku tertanya-tanya. Kenapa wajahnya tampak lain sangat, seperti…. Tanpa membuang masa aku cuba view facebook miliknya. Kelihatan seperti dia sudah lama tidak update facebooknya itu. Hatiku tergerak untuk membaca kesemua wall postnya yg lama2. Sehinggalah aku temui sebaris ayat yang membuatkan aku terkedu. Ucapan takziah dan Al-Fatihah untuknya?! Aku terkaku di hadapan notebookku ini. Seperti tidak percaya, Along telah pergi buat selama-lamanya. Melalui laman sosial tu jugaklah, aku terjumpa dan cuba hubungi adiknya, Angah. Angah turut mengiakannya. ‘Tuhan lebih sayangkan dia…’ itulah yg ditulis oleh Angah. Menurut Angah, arwah Along meninggal bulan Mei tahun ni, bersamaan ‘Hari Guru’ akibat kanser ovari. Dua tahun arwah menderita sebelum menghembuskan nafasnya yg terakhir… Banyak lagi sebenarnya kenangan aku dengan arwah, tapi aku tak dapat nak coret kesemuanya. Kalau aku cerita dari mula sampai habis tanpa satu pun yg tertinggal, rasanya 2 page blog aku ni pun belum tentu lagi cukup. So aku hanya boleh cerita mana yg paling aku tak boleh lupa aja.

Hiba, sayu, pilu... semuanya bercampur menjadi satu. Berat sebenarnya untuk aku terima berita ni sebab arwah adalah antara kawan yg paling aku cari selama ni selain dari beberapa lagi kengkawan sekolah rendah yg lain. Malah, ketika aku menulis post ni pun, airmataku gugur lebat, selebat hujan yang turun di luar. Kasihan arwah, kerana menderita penyakit itu ketika usia semuda ini. Aku tak mahu bertanya lebih-lebih kepada Angah, takut nanti dia bersedih. Cukuplah sekadar aku tahu yang aku sebenarnya telah kehilangan seorang teman yg cukup rapat denganku suatu ketika dahulu.

Sorahatul Amirah @ Along….
Our friendship will always cherish in my heart forever.

Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...